Smartband Talk mula dijual di Malaysia

Gelang tangan sihat? Bukan dengan gelang ajaib yang dijual selebriti terkemuka tetapi yang dihasilkan Sony Mobile Communications dengan Smartband Talk yang akan mula dijual di Malaysia minggu ini.

Ia boleh berhubung dengan aplikasi LifeLog, yang akan memantau prestasi harian pengguna, dan merekodkannya untuk diperiksa semula.

SmartBand Talk adalah sebuah peranti yang merekod gaya hidup seharian pelbagai guna. Nama Talk yang ada padanya, kerana ia mempunyai mikrofon & pembesar suara terbina di dalam, yang membolehkan pengguna bertelefon dengan sokongan HD Voice.

SmartBand Talk direka melengkung agar ia serasi dengan bentuk tangan. Ia menggunakan paparan e-paper dengan skrin sebesar 1.4-inci. Sony memilih paparan ini berdasarkan maklumbalas yang diterima dari pengguna. Ia menggunakan tenaga yang rendah tetapi jelas dilihat sepanjang masa. Pengguna boleh memantau aktiviti Lifelog, melihat notifikasi & jua waktu bila-bila masa.

Ia mempunyai sensor accelerometer & altimeter bagi merekod pergerakan pengguna dengan tepat, tidak kira ketika berjalan, berlari atau mendaki. Ia juga kalis air & debu, dengan rating IP68.

Aplikasi Lifelogger boleh dimuat turun dari Google Play Store, dan berhubung melalui Bluetooth & NFC, dan kemudiannya boleh disambung ke akaun Sony Entertainment Network. Sony kini sedang menguji antaramuka lamanweb untuk Lifelog & dijangka boleh mula diakses hujung tahun ini. Sony juga akan menyediakan API untuk pembina aplikasi menyambungkan SmartBand Talk dengan aplikasi mereka.

SmartBand Talk akan dijual pada harga runcit yang disyorkan, RM579. Ia boleh mula dibeli pada 13 November 2014, hanya di Sony Centre KLCC & The Curve sahaja dahulu. Kedai Sony serta pengedar peralatan Sony yang lain dijangka mula menjualnya pada hujung bulan ini.