Xiaomi Redmi Note 4G sampai Malaysia bulan depan

Tahukah anda, Xiaomi bakal menjual Redmi Note 4Gb yang juga produk 4G pertama Xiaomi dijual di Malaysia.

Secara luaran, Redmi Note 4G mempunyai rekabentuk yang sama seperti Redmi Note 3G. Apa yang membezakan keduanya, adalah perkakas dalaman. Seperti namanya, Redmi Note 4G kini menyokong internet berkelajuan terpantas 4G LTE.

Ia juga kini menggunakan cipset berbeza dari dulu. Ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 400, 4-teras berkelajuan 1.6GHz beserta cip grafik Adreno 305. Ianya adalah cipset yang sama digunakan Redmi 1S. Selain itu, cipset ini juga hanya menyokong satu sim, jadi Redmi Note 4G tidak dapat digunakan dengan dua sim sekaligus.

Pada aspek lain, ia masih memiliki spesifikasi yang sama. Seperti skrin HD 5.5-inci 720p, kamera belakang 13MP serta kamera depan 5MP. Baterinya berkapasiti 3100mAH juga masih boleh dicabut. RAM 2GB dan memori dalaman kekal 8GB, dengan pilihan menambahnya menerusi slot mikro-SD. Ia menjalankan Android KitKat 4.4 beserta MiUi v5.

Redmi Note 4G akan dijual di Malaysia pada harga RM589. Tiada tarikh tepat diberikan, tetapi ia dijangka mula dijual pada Disember 2014. Seperti biasa, Xiaomi akan membuat jualan terhad untuk peranti baru ini.