Institut Pemikiran Tok Guru sangat dinantikan - Abd Shukur Harun

Memang sangat wajar dan tepat pada waktunya usaha Kerajaan Negeri Kelantan hendak menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' sebagai mengenang jasanya bukan saja sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun, bahkan sebagai tokoh ulung pimpinan dan pemikir gerakan Islam PAS sejak puluhan tahun.

Penubuhan institut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub di mana Tok Guru bersetuju dengan cadangan itu.

“Semoga idea, pemikiran, ilmu dan dedikasi yang selama ini dikongsikan oleh Tok Guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai,” kata Datuk Ahmad Yakub.

Dengan cara ini, katanya, idea atau pemikiran Tok Guru selama ini yang sentiasa segar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak sebagai teras kepimpinan ulama.

Insitut itu, katanya, akan untuk menyebarkan konsep pentadbiran ulama.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu Tuan Guru Nik Aziz akan hadir di pejabat Kota Darulnaim seminggu sekali bagi membolehkan pelbagai pihak bertemu dengannya. Pada masa yang sama, beliau juga akan menyampaikan kuliah agama sekali dalam setiap bulan.

Tok Guru mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana menubuhkan institut itu. Katanya, penubuhan itu sebagai suatu penghormatan kerajaan negeri dan rakyat kepadanya.

“Insyaallah saya akan penuhi hasrat itu demi untuk Islam, kerana selagi saya hidup, selagi itu saya tetap akan berjuang untuk Islam, untuk masyarakat seluruhnya,” katanya.

Kasih sayang rakyat kepadanya sepanjang masa justru sepanjang hayatnya beliau telah mendambakan perjuangannya kepada Islam melalui wadah PAS.

Beliau adalah legasi yang akan terukir dalam sejarah, bahawa seorang tokoh yang menjalani kehidupan dengan serba sederhana, bersuara lembut, tetapi tegas telah mengambil peranan penting mewarnakan perjuangan politk Islam di tanah airnya.

Memang hanya sesekali dalam sesuatu zaman, seorang tokoh unggul sepertinya muncul untuk mewarnakan sejarah tanah airnya, mendambakan politik Islamnya bukan saja untuk kepentingan ummah, tetapi juga anggota masyarakat seluruhnya.

Pada awalnya memang ramai tokoh yang berbaris untuk menyertai perjuangan sepertinya, tetapi tidak semua mampu menghadapi cabaran. Ada yang tewas dengan umpan politik dan kemewahan, tidak tahan menghadapi ujian dan pelbagai lagi. Maka mereka ini ada yang ‘gugur’ dalam perjalanan kafilah perjuangan yang getir ini.

Tinggallah sejumlah kecil yang meneruskan perjuangan dan dari jumlah yang amat kecil itu termasuklah Tuan Guru sendiri bersama pimpinan PAS yang lain meneruskan perjalanan dalam kafilah perjuangan yang panjang dan getir ini.

Kekuatan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz terletak kepada istiqamah perjuangannya, menebarkan dakwah sepanjang hayat, ketegasannya mempertahankan PAS dari serangan musuh, menyuntik semangat perjuangan kepada generasi lama dan baru, wawasannya yang sangat jauh ke depan – melampaui zaman – serta kemampuannya menterjemahkan kesyumulan Islam di tengah politik baru Malaysia.

Untuk selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Tuan Guru menentang habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah sebuah kejahatan, menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.

Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi penghalang utama yang berada di tengah jamaah PAS dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Demikian perjuangannya yang panjang, penuh makna.

Sementara itu kita ingin melihat 'Institut Pemikiran Tok Guru' yang akan ditubuhkan itu akan diisikan bukan saja dengan buku karyanya, tulisan pelbagai pihak mengenainya, ceramahnya, rakaman kejayaannya selama ini, bahkan juga diharap menjadi rujukan semua pihak bukan saja dalam mengkaji pemikiran Tok Guru dan sejarah penglibatannya dalam politik Islam, PAS, tetapi juga warna warni perjuangannya.

Di samping itu Institut ini diharapkan akan berterusan mengadakan pelbagai wacana ilmu, khususnya politik Islam yang dikira masih ramai belum memahaminya. Tentunya akan ramai para intelektual yang yang berminat berwacana di Institut ini nanti, memandangkan Tok Guru seorang pemimpin yang berfikiran sangat terbuka dan mudah diajak berbincang. Sikap keterbukaannya inilah meletakkannya sebagai tokoh Islam ternama dan membawakan PAS ke tengah masyarakat.

Generasi kini dan akan datang sangat memerlukan Institut serupa ini untuk mendedahkan bukan saja perihal peranan Tok Guru sebagai pemimpin politik dan agama, bahkan melihat secara dekat wajah politik Islam di Malaysia itu sendiri, iaitu bagaimana PAS berinteraksi di tengah masyarakat majmuk tanpa keluar dari orbit Islam.

Kepada pendukung PAS, kewujudan Institut ini adalah tawaran paling bermakna dari Kerajaan Kelantan dan tentunya dapat dimanfaatkan semaksima mungkin. Justru ia menyerlahkan watak Tok Guru yang bukan saja mempunyai pemikiran terbuka, tetapi memandang jauh ke depan.

Kerana itu, pendukung PAS akan melihat bagaimana Tok Guru mengatur strategi, mendekati pelbagai golongan masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mendedahkan tasawuur Islam kepada mereka hingga mereka faham. Di samping itu ia mendedahkan cara Tok Guru berhujah, khususnya ketika menghadapi politik musuh, dengan menggunakan hujah Al-Quran, Hadis dan Sunnah serta mantiq (lojik akal).

Kepada Kerajaan PAS Kelantan, diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana berusaha menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' ini. Tentunya ini sumbangan kerajaan dan rakyat Kelantan yang sangat berharga, di mana negeri yang indah itu telah melahirkan tokoh sebesar inisepertinya.

* Penulis mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai wartawan dan penulis. Beliau kini pencen dan menjadi pemerhati politik yang setia dan boleh dihubungi di shukurharun@yahoo.com.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.