Kontrak SIC anjur F1 GP Malaysia dilanjut hingga 2018

Kontrak SIC anjur F1 GP Malaysia dilanjut hingga 2018

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menganjurkan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia dilanjutkan untuk tiga tahun sehingga 2018.

Petronas turut disahkan sebagai penaja utama Grand Prix Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Kontrak penganjuran perlumbaan F1 di Sepang tamat tahun ini selepas ia mula dianjurkan pada tahun 1999.

Perdana menteri membuat pengumuman tersebut kepada pemberita selepas menyaksikan perlumbaan dan menyampaikan trofi kepada pemenang perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia 2015 di Sepang hari ini.

Najib berkata Malaysia selaku penganjur perlu menjadikan perlumbaan berprestij itu lebih menarik dan mendapat sambutan lebih banyak penonton dari dalam dan luar negara ke acara tahunan itu.

"Kita perlu membangunkan perlumbaan F1 ini sebagai satu acara yang mendapat sambutan yang lebih meriah dan menggalakkan bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi juga kepada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan juga jabatan kerajaan lain perlu memainkan peranan untuk menjadikan perlumbaan F1 sebagai satu acara penting dalam kalendar pelancongan Malaysia.

"SIC memerlukan sokongan jabatan kerajaan dan untuk mencapai objektif ini, kita perlu bergerak secara bersepadu. Selain itu, kita perlu mempromosikan acara ini dengan lebih agresif," katanya.

Perlumbaan edisi ke-17 Grand Prix Malaysia dimenangi pemandu Jerman, Sebastian Vettel daripada pasukan Scuderia Ferrari. – Bernama, 29 Mac, 2015.