Maxis, Ananda Krishnan nafi tuduhan salah laku ambil alih Aircel

Ananda Krishnan in talks to take key stake in 1MDB IPO

Maxis hari ini menafikan semua pertuduhan Biro Penyiasatan India berkaitan pengambilalihan syarikat telekomunikasi India, Aircel pada 2006.

Polis Persekutuan India pada Jumaat memfailkan tuduhan terhadap bekas menteri, adiknya dan hartawan Malaysia, Tan Sri T Ananda Krishnan (gambar) berhubung tuduhan rasuah membantu kumpulan Maxis mengawal syarikat telefon selular India lapan tahun lalu.

Menurut dokumen pendakwaan mahkamah New Delhi, suspek yang turut terlibat adalah bekas menteri telekomunikasi Dayanidhi Maran, adiknya Kalanithi Maran, seorang hartawan India, serta pembantu Ananda, Augustus Ralph Marshall.

Maxis Communications Bhd (MCB) dituduh mengikut Seksyen 120B Akta Pencegahan Rasuah Kanun Keseksaan India.

Kertas pertuduhan menamakan enam pihak termasuk Marshall.

Melalui pertuduhan yang dikemukakan, Dayanidhi didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri komunikasi dan teknologi maklumat di antara 2004 dan 2005 bagi memaksa Siva Ventures Limited (SVL) menjual Aircel kepada MCB.

MCB mendakwa transaksi berkenaan selesai pada 21 Mac 2006 mematuhi undang-undang India dengan SVL dibayar penuh harga pembelian selepas menerima kelulusan pelbagai pihak.

"MCB menafikan dan menolak sebarang pertuduhan salah laku dalam kes ini. MCB percaya pertuduhan tersebut tidak berasas dan kertas pertuduhan difailkan tanpa bukti," kata syarikat itu.

Kertas pertuduhan itu turut menyatakan Astro All Asia Networks Plc (AAAN) membayar secara tidak sah kepada Sun Direct TV Pvt Ltd dan South Asia FM Limited sebagai pembelian saham di dua syarikat itu.

Menjawab tuduhan itu, Astro Malaysia Holdings Bhd yang dimiliki 42.39% pegangan ekuitinya oleh Ananda Krishnan menjelaskan AAAN merupakan entiti asing yang sah dan bukan sebahagian daripada Astro Malaysia Holdings. – 2 September, 2014.