Pengubahan wang haram: Dua beradik, syarikat pelaburan emas didakwa

Dua beradik dan sebuah syarikat pelaburan emas berdepan 116 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM6.85 juta di Mahkamah Sesyen hari ini.

Datuk Noor Ismahanum Mohd Ismail, 32, dan adiknya, Mohamad Ismahanif, 25, serta syarikat Worldwide Far East Berhad bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Bache.

Ahmad membenarkan Noor Ismahanum serta syarikat itu diikat jamin RM500,000 manakala Mohamad Ismahanif sebanyak RM30,000 masing-masing dengan dua penjamin dan menetapkan 17 Februari depan untuk pengurusan kes.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua beradik, yang merupakan pengarah Worldwide Far East Berhad, menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Noor Ismahanum dan syarikat itu didakwa menggunakan wang berjumlah RM3,281,202.63 hasil aktiviti haram melalui 57 cek daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu manakala Mohamad Ismahanif didakwa memiliki sebuah kereta Honda Civic dan wang berjumlah RM295,883.48 menerusi hasil aktiviti haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling dekat sini antara 4 Julai 2011 dan 31 Disember tahun lepas mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber dari Bank Negara tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta bagi Noor Ismahanum dan Worldwide Far East Berhad serta RM100,000 bagi Mohd Ismahanif, masing-masing dengan dua penjamin selain memohon tertuduh menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Peguam Hamidi Mohd Noh meminta jaminan dikurangkan atas alasan kesemua anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang ditawar.

"Pasport mereka akan diserah kepada mahkamah dan adalah mustahil bagi mereka melarikan diri kerana melarikan diri bukan jalan penyelesaian, selain itu, Noor Ismahanum juga sering melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk membantu anak yatim," katanya. - Bernama, 23 Disember, 2013.

--

Get stories like this on the Yahoo app and discover more every day.
Download it now.
Loading...

Latest News