Projek kerajaan RM500 juta ke atas akan dipantau, kata Paul Low

Projek kerajaan RM500 juta ke atas akan dipantau, kata Paul Low

Kerajaan hari ini mengumumkan akan melaksanakan pemantauan terhadap projek-projek mega kerajaan bernilai RM 500 juta ke atas, kata Datuk Paul Low.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ini merupakan inisiatif kerajaan dalam menambah baik isu penyelewangan kuasa dan pembaziran wang kerajaan.

"Kita akan tubuhkan pasukan pemantau melibatkan wakil dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), termasuklah Ketua Audit untuk memastikan tiada rasuah berlaku dalam sektor pembinaan," kata Low selepas melancarkan program Persidangan Kebangsaan Audit Dalaman di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurutnya kerajaan akan menggariskan tiga langkah penting bagi memastikan pemantaun tersebut telus antaranya setiap akaun projek diaudit secara berasingan.

"Kita harap dengan ketiga-tiga langkah tersebut penyelewangan kuasa dalam sektor tersebut dapat dikurangkan," katanya.

Low juga berkata, pemantaun tersebut sebenarnya telah dilakukan pada projek MRT.

"Kita menumpukan pada sektor pembinaan kerana sektor ini kita telah kenal pasti sektor yang berisiko tinggi dan penyalah gunaan kuasa sering berlaku," katanya. – 23 September, 2013.