Sang Saka Malaya terus berkibar walau penjara 1,000 tahun, kata aktivis

Dua aktivis yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengibarkan Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang Kemerdekaan lalu menganggap pindaan akta untuk memberikan hukuman penjara selama 15 tahun bagi tindakan menghina Jalur Gemilang tidak masuk akal.

Menurut Hishamuddin Rais (gambar), Sang Saka Malaya akan terus berkibar walau dipenjara 1,000 tahun sekalipun.

"Sang Saka Malaya (gambar) telah berkibar lebih 2,000 tahun. Bila wujudnya Jalur Gemilang itu?" soal Hishamuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider. "Sejak Merdeka hingga 2007 apa nama bendera kita? Seluruh Nusantara menggunakan Sang Saka Malaya," katanya, dan menambah hukuman penjara maksimum sebanyak 15 tahun itu juga sekadar "perkara kecil."

Putrajaya hari ini memasukkan peruntukan 12E Kanun Keseksaan yang membawa penjara minimum lima tahun dan maksimum 15 tahun termasuk denda terhadap mana-mana individu yang menghina logo rasmi ataupun bendera negara.

Pindaan yang dibacakan untuk kali pertama di Parlimen hari ini turut memberi peruntukan sama terhadap penggunaan logo atau simbol yang berlainan selain bendera bagi memperkenalkan negara.

"Mana-mana pihak yang cuba menukar, mengubahsuai, mengoyak, membakar, atau meletakkan, mempersoalkan untuk menghina sebarang logo nasional atau bendera, atau negara lain boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun, dan juga boleh didenda," kata pindaan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membacakan untuk kali pertama pindaan untuk Kanun Keseksaan termasuk 10 akta lain beserta Akta Kesalahan Jenayah. Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim bagaimanapun berkata pindaan itu membuktikan kelemahan kerajaan.

"Aneh dan gila bagaimana kerajaan boleh keluarkan satu cadangan undang-undang sedemikian rupa. Kita akan digelakkan oleh seluruh dunia. "Jika mengibarkan bendera pun dianggap jenayah yang boleh dipenjara sehingga 15 tahun, entah apa lagi bentuk jenayah baru yang akan 'dicipta' kerajaan selepas ini?

"Mungkin akan ada undang-undang menghukum orang yang tidak menghafal rukun negara," katanya secara sinis kepada The Malaysian Insider. Selain Hishamuddin dan Adam Adli, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut disoal siasat pihak berkuasa atas kesalahan sama. – 25 September, 2013.