Sudah-sudahlah menjadi alat Dr M – Asrul Nizam Abd Jalil

Sudah-sudahlah menjadi alat Dr M – Asrul Nizam Abd Jalil

Selama ini hanya muncul khabar-khabar angin seperti wujudnya hubungan kerjasama di antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak. Kerjasama ini kononnya amat strategik dan paling bijak kerana dapat menunggang Mahathir, bekas perdana menteri paling lama dalam sejarah.

Namun, harus diingati Mahathir seorang pemain politik veteran. Kebijakan mengawal strategi untuk mencapai kemahuan politik peribadinya tidak boleh disangkal. PR perlu ingat agar tidak diperbodohkan lagi Mahathir yang satu ketika dahulu mengajak rakyat menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rakyat tidak mendapat apa keuntungan pun daripada strategi ini. Sewaktu Najib ingin dijadikan perdana menteri, rakyat sudah menghantar isyarat jelas untuk menolak Najib ekoran skandal Altantuya dan perangai Datin Seri Rosmah Mansur.

Tetapi, Mahathir tidak peduli dan berkeras menyokong Najib. Kerana Mahathir menyangka Najib boleh menjadi budak suruhannya. Apabila kehendaknya tidak dituruti, Mahathir kini ingin mengajak rakyat untuk menyingkirkan Najib pula.

Imbas kembali kenyataan Mahathir minggu lepas, "Najib perlu disingkirkan supaya Umno/Barisan Nasional tidak tewas teruk dalam pilihan raya umum akan datang". Jelas sekali, niat Mahathir hanyalah untuk memperkuatkan Umno/BN bagi menjaga kepentingan peribadinya. Tetapi, mengapa ada ahli Parlimen PR yang terhegeh-hegeh menjadi bidak catur Mahathir? Adakah PR mahu mengukuhkan Umno juga?

Minggu lepas, muncul suara seorang ahli Parlimen PR yang menjemput Mahathir membantu dalam isu 1MDB. Ini tak ubah seperti mengajak lanun menyelesaikan kes rompak. Lebih dikesali, wujud pula pihak dalam PR yang sangat keliru. Bukan sahaja sekadar menyokong Mahathir malah ada pula yang murni hatinya menjemput Mahathir menyertai PKR untuk diangkat sebagai ketua umum. Ini satu lagi bentuk Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan kegilaan kuasa.

Hari ini, kami menerima pula beberapa keping gambar pertemuan di antara kem Mahathir dengan ahli Parlimen PR. Kami dedahkan satu keping gambar dahulu buat masa ini.

Tun Daim Zainuddin adalah antara manusia paling cekap mengambil kesempatan (korup) dalam Malaysia. Adakah semasa pertemuan tersebut, ahli Parlimen PR tersebut menyatakan kritikan atau sekadar menjadi pak angguk mendengar strategi dan arahan untuk melawan Najib?

Sebagai antara pihak yang menyokong perjuangan PR untuk menumbangkan rejim BN, SAMM merasa amat malu dengan perkembangan ini. Adakah kita boleh berkompromi dengan kumpulan manusia yang korup dan menghancurkan asas negara ini semata-mata untuk menjatuhkan seorang individu? Apakah menjatuhkan Najib bererti Malaysia dapat diselamatkan? – 8 April, 2015.

* Penulis merupakan Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.