Diana Amir selesa berkepit dengan suami

Diana Amir selesa berkepit dengan suami

2 Mei – Ada segelintir pihak telah mendakwa pelakon dan pengacara, Diana Amir sering berkepit dan membawa suaminya ke lokasi penggambaran dan majlis-majlis tertentu.

Seharusnya perkara ini tidak perlu dipertikaikan kerana orang yang dibawa Diana adalah suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman dan bukannya orang lain.

Menurut laporan portal hiburan tempatan, Diana menjelaskan bahawa perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana dirinya tidak melakukan perkara yang salah.

"Kenapa benda halal orang nak pertikaikan kerana benda ini bagus dan boleh mengelak fitnah. Kalau pergi seorang diri lagi bahaya dan saya bawa suami untuk melindungi diri saya dan perkara ini tiada masalah," jelasnya.

Diana turut menambah bahawa komitmen kerjaya memerlukan dirinya terpaksa pulang sehingga lewat malam dan adakalanya lokasi penggambaran jauh dari rumah dan perlunya insan bernama suami untuk sentiasa menemaninya.

Dalam pada itu, pengacara rancangan "SIS" siaran TV9 ini melahirkan rasa bahagianya selepas beberapa bulan bergelar isteri kerana hidupnya kini lebih bermakna dan tersusun.

"Sebelum ini saya perlu menjaga diri sendiri dan kini ada suami yang perlu dijaga dan perlu membahagiakan dirinya untuk mendapat redha dan pahala," ujarnya yang sempat meluangkan masa bercuti ke Maldives baru-baru ini bersama suami tercinta.

Diana juga melahirkan rasa syukurnya kerapa dikurniakan seorang suami yang sangat memahami kerjayanya sebagai seorang selebriti dan tidak pernah menghalang apa yang ingin dilakukannya.