Muslimat gesa Majlis Syura ulama kaji salah guna media sosial untuk “serangan peribadi”

PAS will not support a woman MB as yet, says state rep

Dewan Muslimat PAS menggesa Majlis Syura Ulama mengkaji isu penyalahgunaan media sosial oleh anggota parti itu untuk membuat “serangan peribadi” pada pemilihan kali ini.

Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat Dr Asiah Ali berkata penyalahgunaan media sosial yang tidak terkawal sehingga mencapai tahap memburukkan satu sama lain boleh mendatangkan kemudaratan pada masa depan jika tidak dibendung.

"Semasa pemilihan kelmarin, salah guna Facebook, Twitter dan Whatsapp oleh anggota kita telah menyebabkan berlaku situasi yang memburukkan satu sama lain," katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-59 hari ini.

Beliau berkata gesaan itu bertujuan menjauhkan suasana kempen tidak sihat supaya tidak terus menjadi “budaya” PAS kelak.

Sebaliknya, Dr Asiah berkata jawatan yang diberi menerusi pemilihan itu harus dilaksanakan secara amanah dan buka disandang untuk popular.

Sementara itu, perwakilan PAS Sarawak meluahkan rasa terkilan dan kecil hati terhadap pimpinan parti yang bersikap tidak bersungguh-sungguh membantunya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Pimpinan PAS menyatakan di Sarawak bolehlah buat apa yang termampu, seolah-olah PAS Sarawak dan Sabah tidak berupaya," kata Mohd Arifi Riazul Paijol.

Beliau berkata pada pilihan raya umum lepas, PAS Kelantan, Perak dan Selangor yang memberikan bantuan sehingga membolehkan mereka memenangi empat kerusi Parlimen daripada lima yang ditandingi. – Bernama, 23 November, 2013.