Senarai aktor tempatan terbaik 2014

Senarai aktor tempatan terbaik 2014

1 Nov – Akhirnya malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang dinantikan para penggiat filem tanah air bakal menemui penonton pada malam ini (1 November) di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tunku Muhammad bertempat di Sungai Gadut, Negeri Sembilan.

Acara gilang-gemilang yang mengiktiraf karyawan dan anak seni tempatan ini dijadualkan sepatutnya berlangsung pada pertengahan tahun namun telah ditangguhkan demi menghormati mangsa insiden pesawat MH370 dan MH17.

Senarai lima terbaik untuk 24 kategori telah pun diumumkan pada Ogos lalu, dan antara kategori utama yang menarik perhatian umum tentunya anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang diungguli oleh nama-nama besar industri filem Malaysia.

Ayuh kita lihat siapakah lima aktor yang penulis maksudkan dan mereka adalah:

Azri Iskandar (Penanggal)
Suami kepada pelakon dan pengarah terkenal Ellie Suriaty ini sememangnya terkenal dengan lakonan hebatnya yang mampu membawakan pelbagai karakter di dalam filem tempatan.

Sudah melibatkan diri di dalam arena perfileman tanah air semenjak tahun 90an lagi, Azri kerap dicalonkan dalam beberapa anugerah menerusi lakonannya di dalam filem "Perempuan Melayu Terakhir", "Pontianak Harum Sundal Malam" dan banyak lagi.

Selain itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini juga pernah mencuri perhatian penonton dengan lakonannya yang mantap menerusi filem "Gerak Khas The Movie 2", "Syaitan" dan "Jangan Tegur" baik sebagai watak pelakon utama mahupun pelakon pembantu.

Terbaru, aktor hebat ini dicalonkan sekali lagi menerusi filem seram berjudul "Penanggal" yang diarahkan oleh isterinya sendiri dan dibarisi pelakon lain seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan ramai lagi.

Bront Palarae (Psiko Pencuri Hati)
Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin yang kini berusia 36 tahun ini bukah sahaja merupakan seorang aktor yang berbakat besar malahan dirinya juga turut dikenali sebagai penulis, pengarah, penerbit dan juga pengacara.

Aktor yang berketurunan Melayu Siam ini pernah merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem "Belukar" pada Festival Filem Malaysia ke-23 yang diadakan pada tahun 2010.

Tahun ini beliau dicalonkan lagi untuk kategori yang sama menerusi lakonannya di dalam "Psiko Pencuri Hati" yang mengisahkan tentang seorang penulis novel yang telah dituduh membunuh isteri seorang pemilik resort.

Faizal Hussein (Longkai)
Anak kepada pelakon veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum semenjak aktif berlakon sekitar tahun 1982 sehinggalah sekarang.

Pelakon yang juga seorang pengarah dan penulis ini dahulunya cukup menyerlah dengan lakonannya yang bersahaja di dalam filem "Gila-Gila Remaja" menerusi watak Roy.

Suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman ini kini dicalonkan pula sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem "Longkai" hasil gandingan bersama pelakon popular Erra Fazira, Niezam Saidi, Wawa Zainal, Dira Abu Zahar dan ramai lagi.

Rusdi Ramli (Tanda Putera)
Siapa sahaja yang membesar dengan drama bersiri pendekar yang ditayangkan sekitar tahun 90an pastinya kerap melihat lakonan dan pencak silat aktor hebat ini di kaca televisyen suatu ketika dahulu.

Anak kepada pelakon Norlia Ghani yang kini berusia 44 tahun ini masih lagi aktif berlakon di dalam filem-filem tempatan seperti "Awan Dania The Movie", "Mencari Cinta" dan juga "Tanda Putera".

Memegang watak utama sebagai Tun Abdul Razak Hussein iaitu Perdana Menteri yang kedua di dalam filem "Tanda Putera" sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana umum sedia maklum karakter tersebut berprofil tinggi dan sangat dihormati ramai.

Syed Hussein (Psiko Pencuri Hati)
Syed Hussein Syed Mustafa ataupun lebih dikenali sebagai Sein Ruffedge dahulunya mula dikenali ramai sebagai seorang pelakon menerusi lakonan mantapnya bersama aktres Lisa Surihani menerusi drama komedi romantik "Adam Maya".

Berlakon di samping Bront Palarae di dalam filem "Psiko Pencuri Hati" nampaknya turut memberi tuah kepada Sein apabila menjadi di antara lima calon bagi merebut trofi Pelakon Lelaki Terbaik di FFM26.

Antara filem yang pernah dilakonkan oleh Sein adalah "Sepi", "Tipah Tertipu The Movie", "Balada Pencinta" dan banyak lagi.